Tuesday, November 3, 2009

Kesan Tayangan Filem Filem Aksi Kepada Rakyat Kebanyakan di Malaysia.

Malam itu, aku keluar makan bersama rakan serumah dan rakan lain rumah. Adalah dalam 4 5 orang aku rasa. Atau 3 4 orang. Mana satu yang betul pun aku dah tak ingat dah. Jadi macam biasalah, bila dah habis makan tu mesti nak sembang sembang berasap. Sedang rancak membicarakan topik bertajuk “Perempuan Cantik, Seksi dan Montok ; Kesan Kesannya Terhadap Pembangunan Sosio-ekonomi dan Politik Negara”, tiba tiba telefon Syahmi berdering. Oh ya, Syahmi ni budak rumah aku. Daripada panggilan telefon tersebut, dapatlah diketahui bahawa seorang kenalan Syahmi ni ditimpa kesusahan. Motosikalnya rosak tak jauh dari tempat kami makan.

Maka Syahmi pun mengajak salah seorang daripada kami untuk menemaninya pergi menolong kenalannya itu. Disebabkan aku yang paling hensem kat situ, dia pun mengajak aku. Aku sebenarnya tak faham apa kaitan unsur fizikal dalam hal ini. Ini bukannya program tv yang membabitkan undian SMS. Setelah berdolak dalik dan memberi alasan yang tak masuk akal, dengan berat hati aku terpaksa bersetuju dengan ajakannya. Kawan punya pasal, apa ada hal.

Si Syahmi ni pun menelefon Awis. Awis ni budak rumah aku juga. Dipendekkan cerita, Syahmi meminjam motosikal Awis. Awis ini seorang yang pelik. Awis pernah memberitahu yang dahulunya beliau mempunyai warna kulit seperti orang Jepun. Kami semua tak percaya. Awis ini keadaan fizikalnya agak ganas. Tapi beliau ni seorang yang sentimental juga. Ini kerana aku pernah terjumpa koleksi lagu lagu jiwang leleh karya Eddie Hamid, Juwie, dan koleksi lagu pop Indonesia dalam komputer miliknya. Siap hidden folder lagi. Dalam folder tu juga tersimpan bermacam lagi artikel format pdf, antaranya bertajuk Tips Memikat Hati Si Dia, Panduan Menjadi Lelaki Romantis, serta Suburkan Perasaan Cintamu. Aku terkejut juga, sebab dari luaran, beliau seorang yang rebel dan punk. Naim pun tak rebel macam beliau. Tapi, walaupun begitu, beliau seorang yang pemurah. Segala harta bendanya boleh dipinjam rakan rakan. Harta bendanya seperti motosikal, komputer, dan selipar diisytiharkan sebagai harta rakyat. Cilakak, apahal pulak aku cerita pasal dia pulak?

Ok, kembali ke landasan yang benar. Aku dan Syahmi pun pergi ke lokasi kejadian. Setelah ditanya, kenalan Syahmi memberitahu bahawa tiba tiba enjin motosikalnya mati. Menurutnya lagi, sebelum itu dia telah berjaya melanggar lari sebuah kereta. Setelah dibelek belek motosikal itu, dapatlah diketahui bahawa koil plug tercabut. Apa ke bodoh boleh tertanggal menatang tu. Aku sudah terhidu perkara yang tidak enak bakal terjadi. Tak kan mat rempit tak reti perkara perkara asas begini. Syahmi berjaya menghidupkan enjin motosikal itu. Kenalannya bertepuk tangan tanda gembira.
Sejurus kemudian, sebuah kereta Proton Waja dipandu laju berhenti di depan kami. Nombor plat kereta itu tiada. Aku menyangka bahawa kereta tersebutlah yang dilanggar oleh kenalan Syahmi tadi. Sekitar 6 orang keluar dari kereta itu dan meluru ke arah kenalan Syahmi. Salah seorang daripada mereka menengking kenalan Syahmi. Keadaan masa itu sama seperti aksi dalam filem Evolusi KL Drift.

Tiba tiba mamat yang menengking tadi menoleh ke arah Syahmi. Sekelip mata Syahmi dipukul. Aku terkejut. 2 orang daripada mereka hendak memukul aku. Aku berundur dua langkah ke belakang. Baru sahaja mereka hendak menghayunkan tangan memukul aku, mereka sudah berada di atas jalan tar. Aku sebenarnya tidak suka kepada pergaduhan, namun situasi memaksa aku bertindak demi menjamin keselamatan diri sendiri. Aku lihat Syahmi diserang dengan begitu hebat oleh 4 orang penjahat. Mamat yang motor rosak ni duduk diam je. Budak yang dah terbaring tadi bangun dan cuba menyerang aku lagi. Aku humban budak budak tu ke arah kawan kawan mereka yang sedang enak membelasah Syahmi. Mujur Syahmi berjaya mengimbangi badannya agar tidak terjatuh. Aku bagi terajang sedas ke mamat yang menengking tadi. Mamat tu tak puas hati. Dia nak tumbuk aku tapi aku rilek je tepis. Aku tumbuk mukanya, patah dua batang gigi lalu jatuh tersungkur. Mamat tu pun bangun lalu mengajak rakan rakannya lari menyelamatkan diri.

Selepas mereka melarikan diri, aku pergi ke arah kenalan Syahmi. Aku sumbat dia kat celah celah sport rim Yamaha 125 Z dia. Pada malam itu jugalah aku menyedari kelebihan menonton filem filem lakonan Rajnikand dan Govinda.

Saturday, October 31, 2009

Nada Dering Telefon Bimbit Saya